Rabu, 16 Januari 2013

Jangan Abaikan Lampu Ini!



Di setiap komputer anda akan dapati beberapa lampu – lampu kecil. Kebanyakkan orang tahu dan boleh mengenali lampu kuasa (power LED) yang akan menyala setiap kali komputer dipasang. Lampu - lampu ini memberi isyarat penting mengenai apa yang berlaku di dalam komputer, oleh itu jangan abaikan lampu ini.


Klik untuk zoom


Di antara lampu yang sering diabaikan adalah lampu HDD atau Hard Disk Drive LED. Lampu ini sering kelihatan berkelip – kelip apabila komputer digunakan seolah – olah seperti nadi jantung. Ramai pengguna tidak mengendahkan lampu ini dan menganggap kelipannya itu adalah perkara normal. Namun hakikatnya kelipan lampu HDD itu memberikan maklumat penting kepada pengguna berkenaan fungsi komputer. Mengambil tahu akan erti kelipan akan membantu anda menjadi pengguna yang lebih produktif.

 
Kelipan lampu HDD sebenarnya melambangkan aktiviti cakera keras atau Hard Disk Drive (HDD) komputer anda.
 
Setiap komputer dilengkapi dengan sekurang – kurangnya satu HDD. HDD adalah media storan utama komputer dan menyimpan semua maklumat yang diperlukan untuk komputer berfungsi. Tanpa HDD, komputer tidak akan dapat dimula atau digunakan. Adalah di luar skop rencana ringkas ini untuk menerangkan HDD secara terperinci. 
 
Apabila maklumat dibaca atau ditulis ke HDD, lampunya akan berkelip. Kelajuan kelipan menggambarkan betapa sibuknya HDD sedang berfungsi. Lebih laju lampu HDD berkelip, lebih sibuklah ia. Namun apa pula kaitannya dengan anda sebagai pengguna?
 
Apabila HDD sibuk bekerja, komputer kerapkali menjadi perlahan. Dalam keadaan ini komputer mengambil lebih masa untuk respon kepada penaipan atau klik yang dilakukan melalui tetikus. Ada kalanya anda mungkin tidak akan nampak sebarang respon pada komputer kepada arahan yang diberikan melalui papan kunci atau tetikus. Akibatnya apabila HDD sibuk, komputer boleh kelihatan seolah – olah tergantung operasi atau "hang" dan ramai pengguna membuat kesimpulan yang komputer mereka sudah rosak.
 
Sebenarnya komputer dalam keadaan yang disebutkan tadi bukannya rosak malah hanya terlalu sibuk buat seketika. Apa yang perlu dilakukan dalam keadaan sebegini adalah memberikan komputer masa untuk menyiapkan semua urusan membaca dan menulis ke atas cakera keras (HDD) tadi sebelum mula menggunakannya kembali. Apabila lampu HDD berhenti berkelip atau hanya berkelip sekali - sekala sahaja, anda bolehlah kembali ke urusan komputer anda. Anda akan dapati komputer lebih responsif dan seronok digunakan.
 
Oleh itu sentasa awasi lampu HDD komputer anda. Berhenti menggunakan komputer seketika jika ianya menjadi terlalu sibuk. Mengikut petua ini akan memberikan anda pengalaman perkomputeran yang lebih selesa dan produktif.
 
Pendek kata komputer juga perlukan sedikit kefahaman dan kesabaran dari tuannya.

Tiada ulasan: