Rabu, 16 Januari 2013

Lima Teknik Cegah Komputer Dari Diformat




Untuk mencegah komputer dari selalu diformat, anda hanya perlu pelajari sedikit teknik baik-pulih komputer sahaja. Dengan cara ini apabila komputer anda menunjukkan petanda - petanda masalah seperti yang disebutkan dalam bahagian pertama rencana ini, anda akan menggunakan teknik baik-pulih yang sesuai untuk memperbaiki masalah berkenaan dan justeru cegah komputer dari perlu diformat.
 
Mengamalkan teknik ini akan menjimatkan masa, wang dan yang paling penting sekali membina keyakinan diri anda menjaga dan memperbaiki masalah komputer anda sendiri.
 
Teknik baikpulih komputer yang akan turunkan di bawah sebenarnya tidak memerlukan anda belajar jadi juruteknik komputer. Kebanyakan masalah komputer di atas boleh diperbaiki tanpa perlu menggunakan sebatang pemutar skrew (screw driver) atau membuka komputer langsung. Sesiapa sahaja boleh mempelajari dan mengamalkan teknik baik-pulih komputer yang kami akan turunkan di bawah. Apa yang diperlukan hanyalah untuk anda meluangkan sedikit masa dan punya keinginan pelajari sesuatu yang baru.

 

Teknik No. 1: Belajar Menjaga Komputer Dari Ancaman Virus dan Spyware

 
Stress komputer kena virus
Dua sebab pertama komputer selalu di format adalah:-
 
1. Komputer disyaki dijangkiti virus atau malware lain.
2. Komputer sudah menjadi perlahan, "berat" dan sering tergantung operasi (hang).
 
Punca sebenar kedua masalah ini sebenarnya adalah jangkitan virus dan malware atau spyware. Jadi jalan penyelesaiannya adalah mudah iaitu:-
  1. Belajar bagaimana mengesan jangkitan virus dan spyware
  2. Belajar bagaimana membasmi virus dan spyware dengan betul dan selengkapnya dari komputer anda.
  3. Belajar bagaimana hendak menghindari komputer dari dijangkiti virus dan spyware.
Mempelajari 3 teknik ini akan menyelesaikan 50% masalah komputer anda. Setelah menguasi dan mengamalkan ketiga teknik ini dengan baik anda akan dapati kekerapan anda perlu menformat komputer turun secara mendadak. Sebagai contoh jika sebelum ini anda menformat komputer setiap bulan, setelah menguasai teknik di atas anda akan hanya perlu format komputer setiap 6 bulan sekali - itu pun jika ada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

 

Teknik No. 2: Belajar Teknik Pengurusan Fail dan Program Komputer

Tanda merah bermakna cakera keras sudah hampir penuh
Tanda merah bermakna cakera keras sudah hampir penuh
Dua masalah komputer selanjutnya yang menjadi sebab komputer selalu diformat ialah:-
 
3. Peralatan komputer seperti tetikus, keyboard atau pencetak tidak berfungsi lagi.
4. Cakera keras komputer sudah "penuh"
 
Kedua masalah ini sering disebabkan oleh gangguan kepada fail - fail komputer. Masalahnya ada tiga jenis:-
  1. Fail komputer dipadamkan atau digantikan secara tidak sengaja.
  2. Fail komputer disimpan di tempat yang salah.
  3. Pengguna membuang perisian komputer menggunakan teknik yang salah.
Akibatnya perisian yang menjalankan peralatan komputer menjadi rosak dan menjejaskan fungsi alatan tersebut. Juga ramai pengguna gemar memasang bermacam jenis perisian ke dalam komputer mereka namun tidak tahu atau tidak ingin membuang perisian yang tidak berguna atau sudah lupus tarikh penggunaannya. Akibatnya, komputer menjadi penuh sarat dengan fail - fail perisian yang tidak digunakan dan ini memperlahankan perjalanan komputer serta menyebabkan komputer terasa "berat".


Teknik No. 3: Fahami Sistem Rangkaian dan Internet Anda

Sebab kelima komputer sering di format ialah:-
 
5. Internet sudah tidak dapat diakses atau perjalanannya amat perlahan.
 
Masalah tidak dapat mengakses Internet atau bermacam masalah lain berkaitan Internet biasanya disebabkan oleh 3 perkara berikut:-
  1. Pengguna tidak memahami bagaimana membentuk dan membetulkan sambungan Internet di komputer. Masalah jenis ini sering dihadapi oleh pengguna yang menggunakan pakej Internet wireless dengan kad SIM.
  2. Pengguna membuat andaian salah bahawa jika ianya tidak dapat log masuk ke dalam akaun Facebook, Google atau lain - lain adalah petanda komputer harus diformat.
  3. Perjalanan Internet yang perlahan menyebabkan pengguna menformat komputer.
Kesemua masalah di atas punya punca dan penyelesaian yang berbeza. Jadual di bawah menghurai jenis - jenis masalah dengan sambungan Internet, punca serta jalan penyelesaiannya.
 
Kesan Punca Teknik Baik Pulih
Tidak dapat melayari sebarang laman web Masalah sambungan Internet Perbaiki sambungan atau buat sambungan baru.
Boleh layari laman web syarikat Internet sahaja. Masalah dengan akaun Internet Mungkin ada bil tertunggak atau top-up sudah habis. Hubungi talian hotline syarikat ISP anda untuk kepastian.
Sambungan Internet terputus - putus Masalah dengan pendawaian atau signal wireless yang lemah. Periksa sambungan kabel Internet. Pastikan anda menerima sekurang - kurangnya 3 bar untuk signal wireless anda.
Tidak dapat log masuk ke akaun Internet seperti Facebook, Tweeter dan lain - lain. Jika masalah hanya pada satu akaun sahaja, ianya bukan masalah sambungan Internet. Cuba log masuk ke akaun lain. Jika anda berjaya log masuk ke akaun lain, kemungkinan besar anda telah hilang atau lupa password akaun yang bermasalah. Gunakan pautan Forgot Password untuk dapatkan password anda kembali.
Perjalanan Internet lembab bagi semua laman web. Mungkin sambungan Internet. Mungkin juga masalah komputer anda. Periksa dengan syarikat Internet anda jika ada gangguan Internet. Periksa sama ada anda sudah melebihi kuota penggunaan Internet.
 

 

Teknik No. 4: Awasi Perisian Yang Anda Pasang Ke Dalam Komputer

 
Browser yang sarat dengan toolbar pastinya perlahan.   
Bagi masalah terakhir di atas (yakni perjalanan Internet perlahan) anda harus pastikan juga bahawa anda tidak memasang terlalu banyak perisian add-on bercorak toolbar pada browser komputer anda.
 
Ramai pengguna begitu ghairah memasang apa sahaja perisian percuma yang mereka boleh dapatkan dari Internet. Diantara perisian yang paling banyak dipasang adalah bermacam jenis toolbar percuma yang berfungsi di dalam browser (lihat gambar di sebelah). Ramai pengguna menganggap lebih banyak perisian sebegini yang mereka pasang, maka lebih canggihlah komputer mereka. Hakikatnya adalah jauh bebeza. Kebanyakan perisian jenis toolbar memberikan amat sedikit fungsi berguna kepada pengguna. Banyak diantaranya telah diikhtiraf sebagai spyware - seperti Babylon toolbar. Sesetengahnya pula merupakan perisian antivirus dan anti-spyware yang palsu yang sebenarnya menanam virus dan spyware ke dalam komputer anda.
 
Semua perisian toolbar memakan sumber komputer dan menyebabkan perjalanan Internet menjadi perlahan kerana membebankan browser. Di antara perisian toolbar yang sering menimbulkan masalah adalah seperti Yahoo Toolbar, Alexa Toolbar, Microsoft Toolbar, Ask Toolbar, Stumbleupon Toolbar dan Babylon Toolbar

Jika komputer anda dilengkapi dengan toolbar - toolbar ini (lihat gambar di atas), anda dinasihatkan membuangkannya. Sesetengah dari toolbar ini boleh dibuang dari applet Add/Remove Programs di Control Panel. Sesetengahnya hanya boleh dibuang melalui perisian antivirus dan anti-spyware menggunakan teknik imbasan manual. Ada juga segelintir toolbar yang begitu degil (seperti Babylon Toolbar) yang hanya boleh dibuang secara manual menggunakan teknik boot disk. Teknik ini memerlukan satu cakera khas untuk memulakan komputer dan kemudian pengguna harus mencari fail toolbar tersebut secara manual dan memadamkannya.

Setelah anda membuang semua toolbar yang tidak berguna dari komputer anda, ambillah langkah berjaga - jaga bagi menghindari dari terpasang perisian sedemikian di masa depan. Semua pengguna harus sedar bahawa sekarang ini banyak perisian toolbar dipasang secara automatik apabila anda memasang perisian lain yang tiada kaitan dengannya.
 
Satu contoh digambarkan oleh grafik disebelah. Ia merupakan satu skrin pemasangan perisian Java yang diperlukan oleh komputer. Semasa proses pemasangan muncul pula skrin yang menawarkan Yahoo Toolbar secara percuma. Lebih mengejutkan adalah pemasangan Yahoo Toolbar diaktifkan secara automatik melalui kotak check box Install the Yahoo Toolbar. Ramai pengguna yang lalai akan terus klik Next dan ini mengakibatkan Yahoo Toolbar dipasang tanpa mereka sedari. Dengan cara beginilah jutaan pengguna diperdaya untuk memasang perisian yang mereka tidak perlukan. Diharapkan dengan penjelasan ini anda akan berikan lebih tumpuan kepada skrin pemasangan perisian dan tidak hanya klik Next, Next dan Next sahaja.

 

 Teknik No. 5: Membaik Pulih Windows

Password Windows hilang
Password Windows hilang
Masalah ke enam yang menyebabkan komputer sering diformat adalah pengguna hilang atau terlupa password akaun Windows mereka. Terdapat berbagai cara anda boleh melesaikan masalah ini:-
  1. Jika komputer anda ada lebih dari satu akaun Windows, masuk ke akaun lain dan buangkan password akaun anda. Akaun kedua ini sudah semestinya satu akaun dengan hak Administrator atau pentadbir.
  2. Jika Windows anda hanya ada satu akaun Windows sahaja, anda boleh gunakan perisian cakera Password Recovery dan mendapatkan kembali password anda.
Jika anda tidak tahu atau tidak boleh melakukan mana - mana langkah di atas, anda masih tidak perlu menformat komputer anda. Apa yang anda harus lakukan adalah bawa komputer anda ke juruteknik berpengalaman dan suruh dia membuang password Windows anda dengan cakera Password Recovery. Perkara ini sering boleh dilakukan dalam 20 minit dan anda tidak perlu meninggalkan komputer di kedai semalaman. Dengan cara ini anda tidak kehilangan sebarang fail perisian dan data yang penting. Jika pekedai atau juruteknik tersebut memberikan berbagai alasan, elok cari orang lain sahaja.
Bagi menghindarkan masalah di atas dari berulang, ikuti petua - petua ini:-
  1. Simpan password anda dalam aplikasi Contacts telefon bimbit anda. Masukkan First Name sebagai WinPass dan Second Name sebagai password Windows anda diikuti dengan nombor telefon anda sendiri. Dengan cara ini jika anda hilang atau terlupa password Windows, anda masih boleh log masuk.
  2. Cipta satu lagi akaun Windows dengan hak Administrator dan jangan pasangkan sebarang password kepadanya. Dengan cara ini jika anda terkunci dari akaun asal anda, anda boleh gunakan akaun kedua untuk padamkan password anda dan log masuk kembali.
  3. Jika anda berkongsi komputer, awasi apa yang dilakukan oleh pengguna lain di komputer anda. Soal dan tegur mereka jika anda melihat mereka memasuki Control Panel dan cuba bermain setting-nya. 
Satu contoh masalah Windows tidak dapat bermula
Satu contoh masalah Windows tidak dapat bermula
Masalah kedua berkaitan Windows yang sering menyebabkan komputer dihantar untuk diformat adalah sistem operasi Windows tidak boleh dimulakan. Seringkali muncul bermacam jenis mesej di skrin. Salah satu mesej yang paling lazim adalah NTLDR is missing seperti yang digambarkan di sebelah. Masalah ini boleh melanda mana - mana versi Windows dari Windows Xp hingga ke Windows 8.
 
Anda boleh memperbaiki masalah ini dengan menjalankan komputer menggunakan DVD Windows. Kemudian masuk ke option System Repair dan ikuti arahan selanjutnya.
Jika anda tidak tahu atau tidak boleh melakukan mana - mana langkah baik pulih di atas, anda masih tidak perlu menformat komputer anda. Apa yang anda harus lakukan adalah bawa komputer anda ke juruteknik berpengalaman dan suruh dia memperbaiki masalah tersebut dengan cakera baikpulih komputer yang sesuai. Anda harus menyatakan masalah anda dengan jelas. Sebagai contoh bagi masalah password Windows hilang anda boleh jelaskan:-
 
"Saya telah hilang password Windows saya. Saya hendak anda memadamkan password Windows dengan cakera Password Recovery yang sesuai. Saya menggunakan Windows Xp/Vista/7/8. Saya tidak mahu komputer saya diformat kerana saya ada banyak fail penting peribadi di dalamnya. Boleh anda tolong saya?"
 
Jika anda meminta bantuan dengan cara yang baik dan rendah diri, ramai juruteknik sanggup membantu anda. Namun jika pekedai atau juruteknik tersebut memberikan berbagai alasan, elok cari orang lain sahaja.
 
Masalah - masalah di atas sering boleh diselesaikan dalam 30 minit dan anda tidak perlu meninggalkan komputer di kedai. Dengan cara ini anda tidak kehilangan sebarang fail perisian dan data yang penting. Kos baikpulihnya juga haruslah lebih murah dari menformat komputer.



 

Tiada ulasan: