Rabu, 16 Januari 2013

Mengapa Tarikh Komputer Tidak Betul?



Tips Komputer ini menerangkan punca dan penyelesaian kepada masalah di mana tarikh dan waktu sistem komputer sentiasa tidak betul.


Gejala Tarikh dan Waktu Komputer Tidak Betul

Ramai pengguna mendapat yang tarikh dan waktu sistem komputer mereka tidak mereka. Ramai juga yang tahu bagaimana hendak memperbetulkan tarikh dan waktu ini secara manual melalui aplikasi Windows. Namun yang menjadi masalah ialah setiap kali komputer ditutup dan dipasang semula, tarikh dan waktu sistem komputer kembali menjadi tidak betul.
 
Sebagai pengguna dan pemilik komputer adalah penting anda memastikan tarikh dan waktu komputer anda sentiasa betul. Ini kerana banyak perisian komputer bergantung kepada tarikh dan waktu yang betul untuk berfungsi dengan baik. Di antara perisian - perisian yang "sensitif tarikh dan masa" adalah seperti sistem operasi Windows itu sendiri, semua jenis perisian yang mempunyai ciri update secara automatik seperti perisian antivirus, anti-spyware, perisian shareware dan lain - lain.
 
Jika tarikh dan waktu sistem komputer tidak betul, adalah berkemungkinan besar sesetengah atau semua perisian - perisian yang disebutkan di atas akan berhenti berfungsi. Ini sudah tentunya menjejaskan pengalaman perkomputeran anda.
 

Bagaimana Komputer Menyimpan Tarikh dan Waktu

Bateri CMOS di papan induk komputer
Bateri CMOS di papan induk komputer
Tarikh dan waktu sistem komputer disimpan berdasarkan kepada jam yang berfungsi menggunakan kuasa letrik sekeping bateri kecil yang dipasang pada papan induk komputer anda. Bateri kecil ini dipanggil bateri CMOS. Semua jenis komputer mempunyai bateri CMOS ini - tidak kira komputer itu adalah dari jenis desktop, laptop, netbook atau tablet.
 
Seperti juga dengan mana - mana bateri lain, bateri CMOS akan lambat laun kehilangan kuasanya. Secara lazim, bateri CMOS boleh bertahan antara 2 hingga 3 tahun. Apabila bateri CMOS telah lupus, tarikh dan waktu sistem komputer tidak akan dikekalkan. Dalam keadaan ini, tarikh dan waktu sistem komputer akan sering dibalikkan kepada tarikh dan waktu piawai yang ditetapkan dalam komputer berkenaan. Tarikh dan waktu piawai ini sering berhampiran dengan tarikh komputer itu dikeluarkan dari kilang.
 

Bagaimana Mengesan "Kehilangan" Tarikh dan Waktu Sistem Komputer

Tarikh dan waktu di System Tray Windows
Tarikh dan waktu di System Tray Windows
"Kehilangan" tarikh dan waktu sistem komputer dapat dikesan dengan cepat dengan melihat tarikh dan waktu yang dipaparkan di System Tray Windows anda. System Tray biasanya terletak di penjuru kanan bawah skrin Windows anda (gambar di sebelah). Jika tarikh yang muncul di System Tray tidak betul adalah kemungkinan besar bateri CMOS anda mengalami masalah.

 

Penyelesaian Masalah

Masalah tarikh dan waktu sistem komputer yang tidak betul ini hanya boleh diselesaikan dengan menggantikan bateri CMOS pada komputer.
 
Proses menggantikan bateri CMOS mengambil tidak lebih dari 20 minit. Ianya mungkin lebih sedikit bagi komputer "padat" seperti laptop, netbook dan tablet. Kosnya pula bergantung kepada harga bateri. Bagi komputer dekstop, harga bateri CMOS adalah kurang dari RM20. Bagi komputer lain harga akan bergantung kepada jenis bateri yang digunakan. Walau apa pun anda digalakkan membawa komputer (atau CPU jika komputer desktop) ke juruteknik yang berpengalaman untuk melakukannya.
 

 

Melaraskan Tarikh dan Waktu Komputer Secara Automatik

Anda boleh menggunakan teknik yang ditunjukkan dalam tutorial animasi Flash di bawah bagi melaraskan tarikh dan waktu sistem komputer anda menggunakan Internet. Ianya adalah lebih cepat dan mudah berbanding dengan melaraskannya secara manual. Jika komputer anda mengalami masalah kehilangan tarikh dan waktu setiap kali komputer ditutup dan dibuka, teknik dalam tutorial di bawah boleh bantu melaraskan tarikh dan waktu dengan cepat sehingga anda dapat menggantikan bateri CMOS komputer.

Tiada ulasan: