Kita semua membuat perkara yang tidak sepatutnya dilakukan sekali –
kala, pengguna komputer juga tidak terkecuali. Kadangkala jika kita
tertekan butang yang salah atau klik butang OK di kotak
dialog yang salah kemungkinan besar kita akan menukarkan setting
komputer ataupun merosakkan perisian penting dalam komputer. Di sini
kami senaraikan
10 cara pengguna merosakkan
komputer mereka agar anda lebih sedar ketika menggunakan komputer.
Menghindari dari melakukan perkara - perkara ini akan pastinya
memanjangkan jangkahayat peralatan komputer anda dan memberikan anda
pengalaman perkomputeran yang lebih seronok dan kurang stress.
1. Tidak mengguna pelaras voltan automatik.
Ini merupakan salah satu tindakan yang boleh merosakkan komputer
secara fizikal. Ramai yang berfikir bahawa komputer hanya dalam bahaya
ketika ribut dan kilat, tetapi hakikatnya apa – apa yang
mengganggu litar elektrik boleh menyebabkan peningkatan voltan.
Sesuatu semudah membuka suatu peralatan elektrik yang bersambung
kepada soket yang sama dengan komputer anda boleh menyebabkan berlakunya
peningkatan voltan.
Anda boleh melindungi sistem anda daripada peningkatan voltan. Ini
dapat dilakukan dengan memasang pelaras voltan automatik atau automatic
voltage regulators (AVR). Untuk memberi perlindungan
yang lebih baik, anda boleh dapatkan Uninterruble Power Supply atau
UPS yang berkebolehan memberikan bekalan elektrik berterusan untuk
beberapa minit sekiranya bekalan elektrik luar terputus
dengan tiba – tiba. Masa tambahan ini dapat membantu anda menyimpan
segala kerja yang sedang anda lakukan dan menutup komputer dengan
selamat. UPS sudah semestinya lebih mahal dari AVR yang tiada
fungsi bekalan berterusan ini.
2. Melayari Internet tanpa pelindungan firewall
Ramai pengguna komputer rumah menyambung komputer ke kabel telefon
atau modem DSL dan terus melayari Internet, tanpa menyedari bahawa
mereka sedang meletakkan komputer mereka dalam risiko
diserang virus, spyware atau penggodam (hackers). Setiap komputer
yang disambung ke Internet hendaklah dilindungi oleh perisian firewall.
Contoh firewall yang terdapat di pasaran adalah seperti KERIO atau
ZONE ALARM, Windows juga mempunyai firewall yang sedia ada iaitu
ICF/Windows Firewall. Firewall juga amat berguna kerana jika
anda menggunakan laptop firewall akan tetap berada dengan anda
jikalau anda membawa laptop anda ke tempat yang menawarkan perkhidmatan
Internet tanpa wayar (wireless). Namun demikian, hanya
memiliki firewall sahaja tidak mencukupi, ia patut dipasang dan
diset dengan betul.
3. Tidak mengemas kini program antivirus dan anti-spyware
Memang tidak dapat dinafikan kebanyakan pengguna tidak sukakan
perisian antivirus. Ianya bukanlah satu perisian produktiviti yang boleh
kita gunakan untuk menghasilkan berbagai jenis dokumen
kerja. Antivirus juga boleh menghalang program yang ingin dijalankan
dari berfungsi baik. Anda mungkin perlu menyahaktifkan untuk memasang
sesetengah perisian dan ianya perlu dikemaskinikan
selalu untuk memberikan perlindungan yang sewajarnya. Pemasangan
antivirus juga menyebabkan komputer menjadi berat dan perlahan. Tarikh
langganannya amat pendek dan anda sering diminta bayar
untuk terus menggunakannya. Apabila pengguna gagal membuat bayaran,
antivirus gagal berfungsi dan menjadi satu kemudaratan kepada pengguna.
Namun dalam suasana kini, anda tidak boleh biarkan komputer anda
tanpa perlindungan antivirus. Program – program yang dikesan oleh
antivirus – yakni virus, trojan, worm dan sebagainya boleh
membawa lebih banyak kerosakan dan kerugian masa serta wang
berbanding dengan waktu menguruskan antivirus itu sendiri.
Spyware merupakan satu lagi ancaman yang semakin membesar, program
ini akan memasang dirinya ke komputer anda (biasanya tanpa pengetahuan
anda) dan mengumpul kesemua data dan maklumat mengenai
komputer anda lalu menghantarnya balik kepada pemilik spyware
tersebut. Spyware adalah punca nombor satu komputer menjadi perlahan dan
lembap. Kebanyakan perisian anti-virus tidak mengesan
spyware dan oleh itu adalah penting untuk memasang program
anti-spyware yang khusus.
4. Memasang dan Membuang Program Sewenang - Wenangnya
Ramai pengguna amat gemar memasang berbagai jenis perisian freeware
dan shareware yang dimuat turun dari Internet. Tidak kurang juga yang
membeli perisian – perisian cetak rompak dari pusat
membeli belah. Sesetengah orang berpendapat lebih banyak perisian
dimuatkan ke dalam komputer, maka lebih canggih dan berkuasalah komputer
mereka.
Hakikatnya adalah semakin banyak perisian yang anda pasang, semakin
besarlah risiko komputer anda dijangkiti virus atau spyware yang akan
merosakkan sistem anda. Risikonya adalah lebih besar jika
perisian dimuat turun dari laman – laman web yang dicurigai.
Semakin banyak perisian yang dipasang dan dibuang secara berulang
akan memperlahankan atau merosakkan sistem komputer anda. Pembuangan
program tidak semestinya membuang perisian tersebut secara
menyeluruh dan juga tidak membuang sebarang virus dan spyware yang
ditanam olehnya. Akibatnya prestasi komputer anda tetap semakin
perlahan.
Anda seharusnya hanya memasang perisian yang betul-betul anda
perlukan. Anda juga seharusnya mengurangkan pemasangan dan pembuangan
program.
5. Minyimpan cakera keras yang penuh.
Antara kesan pemasangan perisian yang tidak dipantau adalah ia akan
memenuhi cakera keras anda. Setiap komputer dibekalkan dengan cakera
keras yang mempunyai kapasiti atau muatan ruang bebas atau
free space yang terhad. Setiap kali perisian dipasang, fail
dimasukkan ke dalam cakera keras. Fail memenuhi ruang bebas cakera.
Akibat dari ini kapasiti ruang bebas cakera berkurangan. Jika ini
tidak dikawal, lambat – laun komputer anda akan menjadi perlahan.
Anda sepatutnya memastikan ruang bebas cakera keras anda tidak menurun
kurang dari 10% dari kapasiti asalnya. Ini bermakna jika
cakera keras anda adalah 200GB, ruang bebas tidak harus dibenarkan
jatuh ke bawah paras 20GB.
Anda boleh menggunakan perisian “disk defragmenter” yang dibina ke
dalam Windows XP (Programs/Accessories/System Tools) ataupun perisian
lain. Anda juga boleh gunakan program “Disk Cleanup” yang
terdapat di dalam Windows untuk mencari dan membersihkan fail – fail
yang tidak diperlukan dalam komputer anda dan mendapat kembali ruang
bebas cakera.
6. Membuka kesemua lampiran.
Kebanyakan pengguna suka membuka lampiran-lampiran yang dihantar
melalui e-mel tanpa meghiraukan bahawa lampiran tersebut kemungkinan
besarnya mengandungi virus yang boleh memadamkan kesemua data
yang terkandung di dalam cakera keras.
Antara lampiran yang paling berbahaya adalah lampiran yang mempunyai
sambungan seperti – exe, cmd dan macam – macam lagi. Dahulunya kita
berasa bahawa fail Microsoft Word dan grafik yang didapati
melalui e-mel adalah selamat, tetapi malangnya tidak lagi. Satu fail
seperti greatfile.jpg.exemungkin disangkakan hanyalah gambar grafik
atau foto oleh kebanyakkan pengguna. Hakikatnya ialah
ianya adalah satu program yang mungkin mengandungi virus, trojan
atau worm.
7. Klik segala-galanya.
Jika anda jenis orang yang suka klik kesemua benda yang boleh
diklik, anda seharusnya memberhentikan tabiat tersebut. Ini kerana
lampiran atau link yang diklik mungkin mengandungi kod Active X
yang merupakan perisian yang boleh merosakkan sistem anda.
Jika anda tertekan link yang salah ia mungkin membawa anda ke laman
web yang mengandungi usur lucah, cetak rompak dan berbagai lagi yang
boleh mengundang masalah buat anda.
8. Berkongsi fail
Kita dididik dari kecil bahawa amalan berkongsi itu adalah baik.
Namun dalam dunia kini, bukan semua jenis perkongsian itu adalah baik.
Dalam alam siber, berkongsi maklumat peribadi seperti nama,
e-mel, alamat rumah, nombor telefon dan lebih teruk lagi nombor pin
akuan bank serta kad kredit boleh menyebabkan anda jadi muflis! Semua
bentuk maklumat peribadi – termasuk fail dokumen peribadi
dan kerja anda – hanya harus dikongsi dengan mereka yang anda benar –
benar anda percaya dan ada keperluan berbuat demikian.
9. Memilih kata laluan yang salah.
Ini merupakan satu kesilapan yang kerap dilakukan. Apabila
menetapkan katalaluan atau password untuk apa jua tujuan, jangan memilih
kata laluan yang mudah seperti hari jadi, no KP ataupun nama
orang yang tercinta. Kata laluan seharusnya panjang sehingga 14
aksara dan mengandungi campuran huruf dan nombor. Tidak ada salahnya
anda menggunakan satu atau dua katalaluan sahaja untuk semua
tujuan – asalkan anda boleh mengingatnya dan ianya tidak mudah
diteka. Akhirnya janganlah buat katalaluan begitu rumit atau "canggih"
sehinggakan anda sendiri pun tidak dapat mengingatinya!
10. Tidak membuat fail salinan sandar.
Malang tidak berbau. Komputer, seperti juga mesin – mesin yang lain
akan satu hari rosak jua. Jika kerosakan ini melibatkan cakera keras, ia
boleh menyebabkan anda mengalami kehilangan data atau
maklumat secara kekal. Walaupun kebanyakan pengguna tidak banyak
menjana data atau maklumat peribadi, namun bagi segelintir yang aktif
menggunakan komputer untuk tujuan kerjaya dan pendidikan,
kehilangan data peribadi yang kekal ini boleh diibaratkan satu
malapetaka yang besar. Komputer boleh diperbaiki dan jika perlu
digantikan dengan yang baru. Segala perisian boleh diisi semula dari
CD-ROM atau dimuat-turun dari Internet. Namun tidak ada sebarang
cara untuk anda mendapatkan semula data peribadi anda sekiranya sudah
hilang atau rosak secara kekal. Dalam keadaan ini hanya satu
perkara sahaja yang boleh menyelamatkan anda – data peribadi yang
sudah disandarkan atau backup.
Membuat salinan sandar atau backup copy fail – fail peribadi
merupakan aspek penggunaan komputer yang paling kerap diabaikan – dan
seringkali pengguna terpaksa menanggung kos tinggi untuk
kecuaian ini. Dahulunya proses membuat salinan sandar atau backup
ini mungkin mahal dan mengambil masa yang lama, namun kini ianya sungguh
mudah sekali. Bagi kebanyakan pengguna peralatan thumb
drive sudah memadai untuk memuatkan salinan segala data peribadi.
Ada juga pengguna yang menggunakan dua thumb drive – satu sebagai media
storan utama dan yang kedua sebagai media storan sandaran
atau backup copy.
Jadi jika anda ada menghasilkan maklumat atau data penting, pastikan
anda menyimpan salinan sandarnya. Ianya boleh menjadi penyelamat
tatkala mesin anda dilanda kerosakkan serius.